30 June 2008

Azizah minta Pak Lah jamin keselamatan Anwar



Oleh: mSTAR Online

PRESIDEN Parti Keadilan (PKR) Datin Wan Azizah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara peribadi menjamin keselamatan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum meninggalkan Kedutaan Turki.

Dalam pada itu, kira-kira 30 orang wartawan dan juru gambar masih menunggu apa-apa maklumat atau berita terbaru tentang Anwar di perkarangan Kedutaan Turki sejak pukul 9 pagi tadi.

Suasana di perkarangan Kedutaan Turki agak tenang tanpa kehadiran para penyokong PKR.

Para wartawan hanya bersiap sedia mengenai kemungkinan di adakan sidang media oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difahamkan berada dalam bangunan kedutaan tersebut.

Sementara itu, kelihatan sebuah van polis, dua buah kereta polis dan terdapat antara lima hingga 10 pegawai polis sedang melakukan kawalan di luar perkarangan Kedutaan Turki bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Najib nafi terlibat dalam kes Saiful


Oleh: mSTAR Online

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dia tidak ada kaitan dengan kes Saiful yang membuat dakwaan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya.
Menurutnya, gambar-gambar yang hangat diperkatakan dan diedarkan di merata blog kini, diambil tiga bulan lalu dengan pegawainya di Kementeriannya ketika Saiful datang untuk memohon biasiswa.

Najib berkata gambar pegawainya yang diambil dengan pegawai Anwar di pejabatnya pada 12 Feb lepas adalah selepas pegawai Anwar datang ke pejabatnya bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.
Menurut pegawai itu, Saiful datang bertemu dengan Khairil Anas pada Januari lalu bagi mendapatkan bantuan dalam urusan pemohonannya untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran.
"Dia (pegawai Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu juga turut menafikan dakwaan yang beliau turut terbabit dalam mengancam keselamatan Anwar.
"Kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak pernah mengancam nyawanya (Anwar) dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan mengugut atau mencederakan ahli politik di Malaysia.

"Kita tidak bercadang berbuat demikian. Itu bukan amalan kerajaan BN," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing.

Anwar semalam, yang berlindung di Kedutaan Turki di sini selepas dituduh oleh pembantunya yang berumur 23 tahun meliwatnya, mendakwa mendapatkan perlindungan di situ kerana mendapat maklumat dari sumber kerajaan dan risikan tentera kononnya ejen BN merancang untuk mencedera atau mungkin membunuhnya, serta mencederakan anggota keluarga atau penyokongnya.

Isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan berita semalam bagi menyangkal laporan polis yang dibuat oleh pembantu Anwar di Balai Polis Travers yang mendakwa diliwat oleh pemimpin itu pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara turut mendakwa kes itu satu konspirasi politik terhadap suaminya.

Ketika diminta mengulas tentang Anwar yang sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur, Najib berkata, "Itu semua kena ikut undang-undang antarabangsa. Mengapa dia perlu bersembunyi?

"Adakah kerana politik atau lari dari undang-undang. Itu nanti terpulang kepada Kementerian Luar tapi ia tidak akan menjejaskan dua negara," kata Najib.

Sebelum ini, Naib Presiden Azmin Ali mendedahkan Anwar terpaksa mendapat suaka politik dari Kedutaan Turki demi keselamatan dirinya.

Anwar telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi semalam tetapi tidak ada siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya.

Namun, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Di dalam satu sidang akhbar semalam, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, usaha terbaru untuk membabitkan Anwar dalam tuduhan liwat ekoran laporan polis oleh bekas sukarelawan parti itu, menunjukkan usaha lebih serius oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya.

Katanya, Anwar telah menjadi sasaran bukan sahaja pembunuhan politik tetapi juga menerima ancaman terhadap nyawanya.

27 June 2008

Nik Aziz tiada pendirian - Md Alwi



Oleh: sinarharian

KUASA politik lebih penting daripada segala-galanya bagi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Demikian kata Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Md Alwi berkata, beliau tidak menyangka sebagai seorang yang bergelar ulama, Nik Abdul Aziz sanggup mengeluarkan kata-kata tersebut.

“Saya berpendapat Datuk Nik Aziz tidak mempunyai pendirian tetap berhubung hal ini. Keputusan beliau tidak konsisten dan tidak istiqamah,” katanya ketika dihubungi SINAR HARIAN, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa tidak akan ada pertemuan di antara Pas dan UMNO.
Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, pertemuan di antara pemimpin Pas dan UMNO itu tidak akan dibuat bagi mengelakkan berlakunya perpecahan di kalangan ahli Pas seperti yang pernah berlaku ketika mula-mula Pas menyertai UMNO suatu ketika dahulu.

Katanya, pertemuan dan perundingan di antara Pas dan parti lawannya UMNO hanya akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan ahli Pas kerana sudah tentu ada di kalangan ahli yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Md Alwi yang juga ketua pembangkang berkata, kenyataan Nik Aziz itu menunjukkan pemimpin Pas lebih pentingkan kuasa berbanding menjaga bangsa dan agama Islam.

“Pemimpin Pas mengatakan bahawa UMNO tidak melaksanakan dasar Islam sebab itulah mereka tidak boleh berunding dengan UMNO tetapi mengapa dengan parti yang jauh sekali dasar mereka dengan Islam, boleh pula Pas mengadakan kerjasama.
“Apakah benar Pas ingin menjaga Islam jika ini tindakannya yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan,” katanya lagi.

Tambah beliau, beliau turut kesal dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyatakan sekiranya Pas mengadakan pertemuan ia akan menyebabkan perpecahan di kalangan ahlinya.

“Ini menunjukkan bahawa pemimpin Pas lebih mementingkan kuasa daripada Islam. Penyokong Pas lebih penting,” katanya lagi.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Negeri, Dali Hussin pula, kenyataan Nik Abdul Aziz itu seolah-olah menunjukkan pemimpin Pas kini bangga dengan kejayaan yang dicapai pada pilihan raya yang lalu.

Katanya, ia juga menunjukkan masalah yang dihadapi oleh Pas dan UMNO sebenarnya bukanlah masalah dasar, sebaliknya ia merupakan masalah politik.

“Pas melihat lebih kepada kuasa. Pas boleh bersatu dengan parti lain yang lebih jauh pegangannya dari Islam. Tetapi mengapa tidak dengan UMNO sekiranya Pas benar-benar memperjuangkan dasar Islam. Ia menyimpang dari dasar Islam sebenar.

“Sebab itulah saya katakan Pas tidak boleh bersatu dengan UMNO bukanlah disebabkan dasar sebaliknya ia lebih kepada untuk mendapatkan kuasa politik,” jelasnya mengelas mengenai isu yang sama.

Katanya, Pas cukup berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya yang lalu namun harus diingat dalam keadaan tertentu mungkin keadaan itu boleh berubah selepas ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri Kuala Balah, Aziz Derashid berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu sebenarnya menyukarkan lagi hubungan di antara kedua-dua parti terutama dalam menyatupadukan orang Melayu.

Menurut Aziz, kenyataan itu juga akan menyulitkan lagi usaha untuk merapatkan hubungan di peringkat akar umbi.

“Saya melihat kenyataan ini membuatkan keadaan menjadi lebih rumit dan menyulitkan dalam usaha merapatkan hubungan terutama di peringkat bawah.

“Dalam keadaan apa pun, kita perlu ada jalan penyelesaian sebagai persefahaman walaupun terdapat perbezaan di dalam banyak perkara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli berkata, hasil keputusan pilihan raya yang tidak sepatutnya berlaku dapat dilihat sekarang.

“Ramai rakyat di negeri tertentu mula menyesal dengan tindakan mereka. Malah tidak kurang juga ada yang kecewa. Jadi pihak berkenaan tidak boleh mendabik dada dengan kejayaan yang diperoleh,” katanya lagi.



Bukti wang Selangor masuk akaun PKR


Oleh: malaysiakini.com

BEKAS pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata beberapa pemimpin parti yang turut hadir kepada Malaysiakini.

Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampasnya daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Abdul Khalid, yang juga Ketua Perhubungan PKR negeri, turut hadir bersama Yahya, yang telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan negeri Isnin lalu.

Dalam mesyuarat semalam, Anwar meminta semua pihak akur pada keputusan menteri besar menggantung tugas Yahya selama dua bulan mulai Isnin.

Beliau juga dikatakan menegur Yahya yang membangkitkan masalah dalaman kerajaan dan isu parti kepada pihak media – bagaimanapun tidak jelas isu sebenarnya yang dibangkitkan Ketua umum PKR juga dikatakan meminta semua pemimpin parti agar tidak mengetengahkan masalah yang membabitkan parti kepada pihak media.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya mesyuarat malam tadi berjalan dengan baik dan dalam suasana ceria," kata sumber-sumber itu.

Menurut mereka lagi, Yahya telah memohon maaf kepada semua yang hadir berhubung tindakannya mendedahkan isu-isu itu kepada media.

Anwar juga dikatakan meminta menteri besar menggantikan pegawai-pegawai tinggi era pentadbiran BN yang masih mengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Sumber-sumber itu berkata, penggantian itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak rasa kurang senang rakyat Selangor.

Mesyuarat selama dua jam itu bermula selepas jam 9 malam di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.Turut hadir di mesyuarat itu, wakil-wakil rakyat PKR negeri, ketua-ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari negeri itu.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR.

26 June 2008

MT terima Ezam kembali ke Umno, Isa dibolehkan bertanding Disember ini









Oleh: mSTAR Online

MAJLIS Tertinggi (MT) Umno hari ini menerima secara rasmi kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor sebagai ahli parti.

Beliau bagaimanapun tidak layak untuk bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti tahun ini.

Ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn di sini, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Ezam diterima semula kerana kemasukan beliau memenuhi semua syarat.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan penerimaan semula Ezam yang pernah bertanding menentang Barisan Nasional di kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya tahun 2004.Pada 28 Mei lalu, Mohamad Ezam menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika dihubungi mStar Online, Ezam berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan parti untuk berjuang kembali bersama Umno.

"Saya akan menyokong Presiden dan Timbalan Presiden Umno dalam usaha pembaharuan dibawa parti dan membantu menentang ancaman baru politik yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Pakatan Rakyat) yang merosakan perjuangan bangsa dan negara," katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan tidak dibenarkan bertanding sebarang jawatan, Ezam berkata, "itu tidak menjadi masalah kerana saya memang tidak bercadang untuk merebut sebarang jawatan dalam parti.
"Tengku Adnan juga memberitahu bahawa MT juga secara rasmi melepaskan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad daripada hukuman penggantungan satu penggal selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti tahun 2004.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, Isa layak bertanding sebarang jawatan parti akhir tahun ini dengan syarat beliau telah menjelaskan yuran keahlian bagi tahun lalu selewat-lewatnya pada 31 Disember 2007.

Mesyuarat MT dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Selepas mesyuarat MT Umno, Abdullah mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

Rundingan dengan UMNO undang amukan penyokong - Nik Aziz


Oleh: HarakahDaily.Net

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.

"Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.

"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.

"Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.

"Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu," ujarnya.

Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.

Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

Bagaimanapun katanya, pertemuan individu di antara pemimpin PAS dan Umno tidak akan dihalang dan ia terbuka bila-bila masa.

"Penyertaan ahli Umno bersama PAS sebenarnya bukan melompat parti sebaliknya kembali pada ajaran Islam sebenar," katanya.

25 June 2008

Siumankah untuk mengatakan PAS bekerjasama dengan UMNO


Oleh: YB Hj Mahfuz Omar


TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.
Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’. PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri. Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri. Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam parlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum. PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama. PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party. Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan. Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno. Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno. Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’.

Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak. PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan. Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama sendiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja. Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini. PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno. Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini. Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan.

Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

Tiada keretakan dalam PKR: Wan Azizah

Oleh: sinarharian

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kelmarin menafikan berlakunya keretakan yang membabitkan anggota tertinggi parti itu.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen pada sidang Dewan Rakyat kelmarin menyatakan bahawa tiada kepincangan dalam pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Beliau turut menegaskan mempunyai kepercayaan penuh terhadap pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Semua pemimpin di Selangor termasuk MB sendiri semuanya baik, tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Tindakan yang diambil juga bagi mengambil kira pegawainya, bukan sebaliknya,” ujarnya.

Wan Azizah yang baru pulang dari luar negara, berkata tidak mendengar sebarang perkara mengenai pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Yahya Mat Sahri.

Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penggantungan dan diikuti peletakan jawatan Yahya semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahya memberitahu Sinar Harian bahawa beliau bertemu dengan Anwar semalam bagi membincangkan semua masalah berkaitan dan menyatakan ia telah selesai.

“Semua masalah telah selesai dan Anwar bersedia untuk berunding dan menerima tuntutan yang dikemukakan.

“Pertemuan yang dijalankan juga menyatakan tentang mesyuarat perhubungan negeri yang akan diadakan bagi menyelesaikan masalah di peringkat negeri Selangor dan isu-isu yang berbangkit,” tambah Yahya

Ujarnya, beliau juga bersedia untuk disiasat dan sentiasa berusaha untuk menolong parti.

Menurutnya, melalui pertemuan di satu tempat yang dirahsiakan, menyatakan tiada isu mengenai peletakan jawatannya.

“Isu ini tidak timbul dalam pertemuan terbabit malahan tuntutan yang dikemukakan lebih kepada cadangan dan perbincangan untuk memperbaiki pentadbiran negeri.

“Ia demi mengukuhkan lagi parti dan saya sedia bekerjasama,” katanya.

Tambahnya, Anwar setuju dengan semua tuntutan yang dikemukakan dan akan membincangkannya dalam mesyuarat perhubungan negeri yang akan dihadiri Penasihat PKR terbabit.

Beliau menambah, pimpinan tertinggi mempersetujui tindakan peletakan jawatan yang dilakukan beliau dan selepas ini beliau akan bertugas menguatkan parti sebagai Pengarah Pilihan Raya Parti dan Biro Strategik Pilihan Raya Negeri Selangor.

“Saya berpuas hati dengan semua pimpinan parti sama ada PR atau PKR di peringkat nasional. Di Selangor saya merasakan perlu ada penambah baikkan,” tegasnya.

Altantuya: Najib sifat perakuan berkanun Raja Petra 'sampah'

Oleh: mSTAR Online

DATUK Seri Mohd. Najib Razak hari ini menyifatkan dakwaan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bahawa isteri beliau kononnya terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu sebagai "sampah."

Dakwaan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, hanyalah satu percubaan oleh orang yang terdesak untuk memburukkan imej politik beliau.

"Anda tidak sepatutnya meminta saya mengulas dakwaan sampah seperti itu," kata Najib kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai masalah pendatang tanpa izin ketika diminta mengulas dakwaan dibuat Raja Petra dalam satu perakuan bersumpah.

Menurut Najib, beliau mengalu-alukan siasatan polis terhadap dakwaan yang dibuat Raja Petra dalam perakuan bersumpahnya yang bertarikh 18 Jun itu.

"Isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) telah pun memberikan keterangan kepada polis," tambahnya.

Ditanya apakah motif menyebabkan blogger itu membuat dakwaan berkenaan terhadap beliau Najib berkata, dakwaan yang merupakan sampah semata-mata seperti itu hanya akan dibuat oleh seseorang yang telah benar-benar terdesak untuk memburukkan imej politik beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyangkal dakwaan Raja Petra bahawa beliau telah menerima salinan laporan daripada pihak perisikan tentera mengenai pembunuhan Altantuya.

Abdullah berkata, apa yang dilakukan oleh Raja Petra itu tidak boleh diterima kerana ia tidak benar.

24 June 2008

Kemelut Khalid-Yahya: Peranan penting Anwar elak perpecahan

Oleh: nakmarahmarahlah.blogspot.com

ALANGKAH pilunya dalam keghairahan mahu merampas tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan dan selesai meraikan sambutan 100 hari kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor, Pakatan Rakyat terpaksa menerima tamparan cukup hebat apabila seorang tokoh berpengaruh PKR, Yahya Sahri meletakkan jawatan sebagai Pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Perhubungan negeri kelmarin.

Peletakan jawatan ini diambil Yahya dengan alasan tidak lagi yakin terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa menyebut sebab-sebab lain yang difahamkan akan diberitahu kemudian.

Difahamkan, tindakan ini dikatakan berpunca dari arahan Khalid yang terdahulu menggantung tugas Yahya selama 2 bulan atas dakwaan bahawa dia didakwa salah guna kuasa berhubung kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya sehingga menerima campurtangan pihak Badan Pencegah Rasuah.

Ketika berucap di kediamannya Yahya turut mendesak Khalid meletakkan jawatan sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri dan menyerahkan jawatan itu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, ramai dikalangan para pemimpin PKR Selangor amat terkejut dengan perkembangan terbaru yang melibatkan dua tokoh utama negeri itu yang boleh mendatangkan tanggapan negatif dikalangan rakyat jelata.

“Situasi ini tidak sepatutnya berlaku dikala Pakatan Rakyat diberi tanggungjawab oleh rakyat untuk mentadbir negeri. Apatah lagi rakyat kini begitu terdesak dengan pelbagai masalah besar yang memerlukan kerajaan negeri tangani.

“Dalam hal ini, kami meminta jasa baik Datuk Seri Anwar selaku Ketua Umum PKR memainkan peranan penting sebagai orang tengah berbincang dengan kedua-dua tokoh kami ini dengan harapan satu jalan penyelesaian mampu dicapai. Baik Khalid mahupun Yahya, kedua-duanya adalah tokoh berkaliber dan khidmat mereka amat diperlukan dalam mentadbir negeri dan parti.

Bagaimanapun sumber itu tidak menolak pendapat sesetengah pihak bahawa sekiranya kemelut ini tidak ditangani dengan baik, tidak mustahil PKR negeri akan menghadapi perpecahan kerana masing-masing mempunyai pengaruh besar dikalangan ahli-ahli parti.

Pada satu sidang media, Abdul Khalid menegaskan siasatan BPR mendapati secara keseluruhannya ia bukan satu kesalahan undang-undang tetapi lebih menjurus kepada tingkahlaku yang tidak wajar.

Yahya undur, 'tidak yakin Khalid'

Oleh: malaysiakini.com

PEGAWAI tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

yahya sahriYahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Perhubungan PKR Selangor.

Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."

Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.

Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.

Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."

Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor.

Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui Malaysiakini selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.

Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."

Yahya, seorang aktivis lama PKR, berkata beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Sementara itu di kediaman rasminya, Abdul Khalid memberikan taklimat isu ini kepada wakil-wakil rakyat PKR Selangor, termasuk ahli-ahli parlimen.

Bagaimanapun tidak semua ahli parlimen hadir kerana sesi Dewan Rakyat berakhir lewat bagi membahaskan usul kenaikan harga minyak hari ini.

Sehingga kini belum jelas butiran perbincangan mereka yang bermula kira-kira 8 malam hingga selepas tengah malam tadi - termasuk mereka yang hadir dalam pertemuan lebih awal di rumah Yahya.

Malaysiakini difahamkan pertemuan ini "panas" mengenai pelbagai isu pentadbiran kerajaan negeri, termasuk "10 peratus sahaja" isu berhubung penggantungan Yahya.

Abdul Khalid mendedahkan penglibatan bekas pegawai kanannya itu dalam isu tersebut, termasuk maklum balas yang beliau perolehi daripada siasatan awal BPR.

Pada 10 Jun lalu, badan itu memanggil Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya.

Siasatan itu susulan aduan sekumpulan empat orang pada 5 Jun kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

Mufti Perlis wajar sertai parti politik - Nik Aziz


Oleh: mSTAR Online

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar menyertai parti politik bagi meluaskan dakwah dan syiar Islam.

Demikian komen beliau ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Asri semalam bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik.

Nik Aziz berkata, kemungkinan Mohd. Asri tidak mahu menyertai politik kerana larangan terhadap pegawai kerajaan bergiat aktif dalam politik.

Katanya usaha dakwah Islam kepada masyarakat tanpa sokongan politik tidak akan berkesan.

"Untuk jalankan sistem Islam, kita mesti ada parti, mesti ada kerajaan. Parti diibaratkan sebagai jentera untuk kita laksanakan hukum Islam," kata beliau selepas merasmikan cawangan ArRahn di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata untuk melaksanakan hukum Islam beliau memerlukan sokongan daripada parti politik atau kerajaan yang menyokong pelaksanaan Islam.

“Jadi mahu tidak mahu, kita perlu ada parti dan kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam,” katanya yang juga Mursyidul Am Pas Pusat.

Menurut beliau, jika hanya menyuruh berbuat baik dan melarang pekara mungkar
tetapi tidak mempunyai kuasa diibaratkan "omong kedai kopi semata-mata."

“Tanpa kuasa tiada siapa mahu menerima apa yang kita perkatakan. Ia diibaratkan omong kedai kopi semata-mata,” katanya.

Semalam Mohd Asri menyatakan pendiriannya yang langsung tidak berminat dengan politik.

Dalam pada itu, Nik Abdul menyarankan supaya institusi kewangan di negara ini memperluaskan sistem pajak gadai Islam ArRahn ke seluruh negara dalam usaha menangani masalah Ah Long atau ceti haram yang kian berleluasa.

Jelas beliau, ArRahn, berteraskan Islam, menggantikan pajakan konvensional mampu menarik lebih ramai pelanggan kerana ia berasaskan kepada pengajaran Islam yang menolak sistem riba atau penggenaan faedah.

"Saya mengesyorkan institusiinstitusi Islam di negara ini agar dapat bekerjasama dengan Permodalan Kelantan Berhad bagi mengembangkan ArRahn," katanya.

Menurut beliau, penggunaan kad kredit berasaskan riba dan pinjaman Ah Long, seperti yang banyak dilaporkan telah menggalakkan pelanggan meminjam tanpa sebarang cagaran sehingga akhirnya terjebak dengan risiko muflis dan kesannya menjadikan masyarakat porak peranda.

Kelantan adalah negeri yang pertama sekali memperkenalkan sistem pajak gadai Islam ArRahn pada 1992.

Mufti Perlis: Saya bukan ulama 'Kakak Tua'!

Oleh: mSTAR Online

KETIKA pegangan politiknya heboh diperkatakan cenderung kepada Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil untuk menyatakan pendiriannya yang langsung tidak berminat dengan politik.

“Cukuplah… kerja sayapun tak habis. Kerja politik untuk orang politik.

“Saya bukan orang politik. Hanya kerana saya berada di majlis PKR dan menjadi ahli panel Wacana Perdana 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Kota Bharu semalam maka ramai yang membuat tafsiran sendiri,” jelas Dr Asri ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Dr Asri, kehadiran beliau dalam forum majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) yang mendapat sambutan hangat semalam, tidak ada kena mengena dengan fahaman politik ataupun penyertaan beliau dalam PKR.

“Itu tanggungjawab saya. Kalau orang Umno panggilpun saya pergi. Sebagai Mufti saya tidak boleh berpolitik dan berpihak pada mana-mana parti politik. A Mufti should be non-partisan. Saya perlu bebas menyatakan kebenaran dan fakta tentang Islam tanpa mengira fahaman politik atau di mana majlispun saya berada,” katanya.

Dr Asri juga menyangkal dakwaan yang beliau menentang kerajaan pusat.

“Apa yang saya cakapkan selama ini adalah atas dasar kebenaran dan tidak bermakna saya adalah penyokong mana-mana parti.

“Pandangan setuju atau tidak tentang satu-satu pendirian parti itu bukan petanda yang saya menyokong mereka. Kita perlu ada cara berfikir yang tersusun. Kalau saya perlu sokong, saya sokong begitulah sebaliknya kalau saya perlu kritik,” katanya.

Beliau turut membidas cakap-cakap yang mengatakan beliau memihak pada satu parti.

“Adakah kerana saya pergi ke satu majlis anjuran PKR bermakna saya ahli PKR?

“Inilah cara berfikiran ahli-ahli politik di Malaysia yang jumud, yang berkehendakkan kita menyokong mereka 24 jam.

“Tidak semestinya saya menyokong PKR kalau saya berucap di medan mereka. Dan tidak semestinya saya menyokong BN kalau saya berada di tempat mereka. Saya bebas dari daerah itu,” jelasnya.

“Kita perlu bersifat objektif kerana kita bukan malaikat yang boleh membuat pemilihan mutlak di atas kebenaran. Ada kalanya boleh jadi betul satu perkara tetapi salah di masa yang lain. Kebenaran boleh menjelma dalam berbagai wajah,” katanya.

Katanya, sudah sampai masanya kita mengajar rakyat berfikir secara objektif.

“Rakyat perlu bercakap dengan terbuka dan bebas dari cengkaman fikiran yang mengongkong. Rakyat perlu bebas berfikir tanpa dipaksa dan dikongkong dan membuat penilaian berdasarkan facts and figures. Itu baru dinamakan kebebasan,” jelasnya.

Kata Dr Asri lagi, ulama atau Mufti bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka juga seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa.

Namun begitu, walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.

“Mereka juga boleh menjadi kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang,” jelas Mufti itu lagi.

Kata beliau lagi, peranan Mufti adalah menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya.

“Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.

“Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Dan saya bukan ulama ‘kakak tua,’ katanya.

Bagi Dr Asri, menjadi mat rempit, perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat.

“Kita memerlukan ilmuwan yang mempunyai semangat seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a.. Di zaman Ibn Taimiyyah ketika rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan menulis dan menyebarkan fitnah memburukkan Ibn Taimiyyah.

“Tujuan untuk menutup kelemahan dan menjaga kepentingan sendiri. Dan selepas zaman Ibn Taimiyyah, gelagat ulama jenis ini tetap sama. Ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran,” katanya.

Tegasnya lagi, jika ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir.

“Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja,” kata Dr Asri.

Usul kurangkan beban kenaikan minyak sudah terlambat - TG Hadi Awang

Oleh: HarakahDaily.Net


PRESIDEN PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan usul yang dibentang oleh wakil kerajaan, Datuk Shahrir Samad di Dewan Rakyat hari ini berhubung langkah mengatasi beban kenaikan harga minyak adalah satu langkah terlambat.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap usul yang lewat itu beliau menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya membawa usul itu sebelum pengumuman harga minyak dibuat (4 Jun).

"Kita nyatakan kekesalan kerana usul ini terlallu lewat dibawa ke Dewan Rakat selepas kerajaan terlebih dahulu mengisytiharkan harga minyak naik yang mempengaruhi kenaikan harga barang," katanya.

Dewan Rakyat jadi 'rubber stamp' untuk mengiakan apa sahaja yang diputuskan oleh kerajaan sedangkan sebarang keputusan kerajaan ini sebenarnya keperitannya ditanggung oleh rakyat, ujar Presiden PAS itu semasa membahaskan usul yang dibentang Shahrir di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Rakyat semuanya menderita, sementara media digunakan untuk cari rakyat yang jahil tentang ekonomi untuk menyokong

tindakan kerajaan ini," kata Presiden PAS itu lagi.

Namun perbahasan Presiden PAS dihentikan oleh Yang diPertua Dewan Rakyat kerana masa perbahasan untuk sesi pagi telah tamat.

Terdahulu sebelum itu Ahli Dewan Rakyat Bagan, Lim Guan Eng (DAP Bagan) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyelar tindakan kerajaan mengemukakan usul tersebut selepas kerajaan menganiaya rakyat terlebih dahulu dengan kenaikan harga minyak.

Ujar Guan Eng, langkah kerajaan ini sebenarnya menghumban rakyat kepada kemiskinan yang melampau, malah pendekatan yang dikatakan untuk mengurangkan beban rakyat ini adalah satu langkah 'ad hoc' dan terdesak.

"Kenapa tidak kerajaan memikirkan langkah ini dahulu sebelum mengumumkan kenaikan harga minyak," ujarnya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memberi wang tunai kepada rakyat sejumlah RM6,000 setahun bagi mengurangkan penderitaan rakyat selain merangsang ekonomi rakyat.

23 June 2008

Usah Digugat Propaganda Picisan Umno-BN!

Oleh: Anwar Ibrahim

SAYA tertarik untuk menyinggung respon pengunjung berhubung dengan beberapa perkara berkaitan keputusan berani pimpinan SAPP tempoh hari, polemik harga minyak dan kembara Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

SAPP
Kita hargai tekad Dato’ Yong Teck Lee meskipun diserang keras oleh media Umno-BN dari segenap sudut. Saya menyeru saudara-saudara mengirim emel atau menghubungi pimpinan SAPP untuk menyatakan sokongan. Ugutan dan perang saraf Umno-BN tidak menggugat pendirian mereka. Syabas!

Harga Minyak
Perang saraf dan propaganda Umno-BN termasuk laskar upahan mereka hanya membicarakan harga di pasaran dunia. Bahawa kenaikan mendadak yang membebankan rakyat dan pembaziran serta rasuah tidak dibicarakan. Jangan izinkan mereka mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar.

Menuju Putrajaya
Pimpinan Umno-BN akan melakukan apa jua tanpa batas bagi menghalang kemaraan kita. Itulah sebab mengapa saya menyeru ahli parlimen dari BN yang prihatin untuk bersama Pakatan Rakyat menyelamatkan negara dari rasuah dan kegagalan mengurus ekonomi.

22 June 2008

Nik Aziz pelawa SAPP sertai Pakatan Rakyat

Oleh: HarakahDaily.Net

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Pakatan Rakyat, sekiranya parti itu kecewa dalam pakatan Barisan Nasional (BN) yang telah disertainya sekian lama.

Tuan Guru berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek Bandar Satelit Pasir Tumbuh apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.

Menurutnya, tindakan SAPP itu jelas menunjukkan sikap orang yang kecewa, untuk itu beliau diseru menyertai Pakatan Rakyat.

"Memang kami belum mengenali secara keseluruhannya parti itu, namun ia boleh berbincang dan dengan cara ini sudah mula ada titik pertemuan antara Pakatan Rakyat dan SAPP yang jelas begitu kecewa dalam pakatannya dengan BN selama ini.

"SAPP sebenarnya sudah melalui jalan pembangkang, ini memberi gambaran yang baik untuk menjalinkan pakatan yang baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas adakah usaha untuk mengajak parti itu menyertai Pakatan selepas parti itu mengumumkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Ketika ditanya adakah PAS bersedia menyokong usul tersebut sekiranya dibentangkan di Parlimen, beliau memberitahu perkara itu akan berlaku.

Sambungnya, ini kerana usaha untuk menyingkir Perdana Menteri itu bukan atas peribadi, sebaliknya atas dasar serta ketidakupayaannya mentadbir negara.

Jumaat lalu, Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee, mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yong dan dua Anggota Parlimennya, Dato' Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang bakal bersidang Isnin ini.

"SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan, dan menjadi sebahagian proses demokrasi di negara ini," ujarnya dalam sidang media itu.

Tuan Guru sebelum itu merasmikan tapak projek Bandar Stalet Pasir Tumbuh yang bernilai RM100juta di atas tanah seluas 20 ekar.

Usul: Pak Lah mahu dua Ahli Parlimen SAPP sokong BN esok

Oleh: bernama.com

KERAJAAN akan membawa satu usul yang berhubungkait dengan isu kenaikan harga minyak dan barangan serta langkah untuk menanganinya pada sidang Parlimen esok, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, usul tersebut akan dibawa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad sebaik selesai sesi soal jawab.

"Saya tidak mahu beritahu apakah bentuk usul itu kerana ini hanya akan dibacakan esok apabila tiba masanya," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada taklimat khas mengenai penstrukturan subsidi kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini hari ini.

Abdulllah berkata, memandangkan perbincangan esok akan mengambil masa yang panjang maka kerajaan sedia membincangkannya sehari suntuk untuk memberikan kesempatan kepada wakil rakyat memahami isu itu.

Mengenai majlis taklimat itu, Perdana Menteri berkata, ia memberi peluang kepada mereka yang hadir mengemukakan bukan sahaja soalan serta pandangan malahan juga teguran.

"Semuanya adalah baik dan bermakna sekali. Menjadi harapan saya agar wakil rakyat BN dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka mmembahaskan usul itu esok dengan baik," katanya.

Mengenai sama ada perbahasan itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM, Abdullah berkata, "tiada siaran langsung".

Perdana Menteri turut ditanya mengenai harapannya terhadap dua Anggota Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) agar mereka tidak mengundi sebaliknya dalam usul yang akan dibawa esok.

"Itu bukan harapan tetapi sudah menjadi disiplin parti agar mereka menyokong BN," kata Abdullah.

Ex-gratia: Senator kesal Dr M diburuk-burukkan

Oleh: malaysiakini.com

SEORANG senator kesal kerana pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat ketika krisis kehakiman 20 tahun lalu, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburuk-buruk mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Senator Datuk Syed Ali AlHabshee berkata, ia juga turut membuka ruang dan peluang kepada pihak lain untuk melakukan perkara yang sama.

Katanya, mereka berbuat demikian seolah-olah Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah banyak melakukan kerosakan terhadap negara.

Perbuatan golongan tersebut, tambah Syed Ali menunjukkan soalah-olah Dr Mahathir tidak langsung membuat jasa kepada bangsa, agama dan negara ketika berkuasa, demikian menurut laporan Bernama.

Di samping itu, belia juga hairan mengapa kerajaan berahsia mengenai jumlah bayaran ex-gratia yang dibayar kepada enam bekas hakim yang dipecat ketika krisis kehakiman 20 tahun lepas.

Senator Datuk Syed Ali AlHabshee berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah sebenar wang yang digunakan untuk membayar ex-gratia tersebut.

Sehubungan itu, Syed Ali berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan kepada umum, jumlah bayaran ex-gratia itu secara terperinci kerana ini melibatkan wang rakyat.

Wang rakyat

Beliau dipetik oleh Bernama sebagai berkata, setiap kali Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menyerahkan cek ex-gratia kepada bekas hakim atau warisnya, beliau enggan mengumumkan amaun cek yang diberikan atas alasan menghormati permintaan keluarga bekas hakim berkenaan.

"Persoalannya, wang yang digunakan untuk membayar ex-gratia itu merupakan wang rakyat dan bukan wang individu tertentu yang tidak perlu didedahkan.

"Tidak dapat dinafikan keenam-enam bekas hakim berkenaan telah berjasa kepada negara namun rakyat berhak tahu dan tidak ada sebab kerajaan perlu merahsiakan amaunnya," tegasnya.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan bekas Hakim Mahkamah Agung Datuk George Seah serta Tan Sri Suleiman Pawanteh yang dipecat daripada jawatan, 20 tahun lalu.

Bayaran ex-gratia itu juga akan dibayar kepada Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.

Hari ini Zaid menyerahkan bayaran ex-gratia kepada Mohd Salleh di rumah bekas Ketua Hakim Negara itu di sini.

Syed Ali juga kesal pembayaran ex-gratia itu diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburuk-buruk bekas Perdana Dr Mahathir Mohamad sehingga ini membuka ruang dan peluang kepada pihak lain untuk melakukan perkara yang sama.

Beliau berkata mereka berbuat demikian seolah-olah Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah banyak melakukan kerosakan terhadap negara dan juga soalah-olah Dr Mahathir tidak langsung membuat jasa kepada bangsa, agama
dan negara ketika berkuasa.

Orang PM dipercayai sedang pujuk SAPP kembali ke pangkuan BN


Oleh: HarakahDaily.net

PENGERUSI BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipercayai sedang mengatur strategi bagi memujuk Pengerusi Parti Maju sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee supaya kembali ke pangkuan BN.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Abdullah yang juga merupakan Presiden Umno itu sedang menghantar orang-orang tertentu bagi menjalankan proses pemujukan ke atas ahli-ahli parlimen SAPP.

"Abdullah akan menggunakan segala kuasa yang dimilikinya untuk mengembalikan kepercayaan SAPP serta parti-parti komponen BN yang lain kepada Umno seterusnya mengekalkan sokongan dan pengaruhnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Walau bagaimanapun, Mohamad sabu tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan ahli parlimen SAPP yang beralih arah.

"Bahkan terdapat juga kemungkinan wakil rakyat yang berjaya dipujuk," ujarnya.

Mengulas mengenai usul undi tidak percaya yang digembar-gemburkan oleh SAPP untuk dikemukakan pada sidang parlimen bermula 23 Jun ini, beliau kurang pasti akan keberkesanannya.

"Walaupun Anwar Ibrahim ada menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan BN, saya tidak dapat memastikan mengenai lompat parti ini kerana saya tidak membuat tinjauan," katanya lagi.

Sungguhpun begitu, beliau menyerahkan hal tersebut kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menguruskannya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Yong Teck Lee semalam bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu.

PKR dakwa 10 MP Sarawak dibawa ke luar negeri untuk elak lompat parti

Oleh: bernama.com

KETIKA tercetus drama politik di Sabah berikutan pengumuman Parti Maju Sabah (SAPP) bahawa mereka akan meneruskan langkah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperhebat kempen mempamer kekuatan.


Ia mendakwa 10 ahli Parlimen (MP) Sarawak telah dibawa ke seberang laut dalam usaha menyekat mereka daripada meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mendakwa mereka telah dibawa ke Beijing.

Tidak semua 10 orang itu akan menyertai PKR, katanya kepada pemberita selepas merasmikan perayaan Kaamatan PKR di sini Sabtu.

Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan bila ditanya sama ada beberapa MP di Sabah juga mempertimbang untuk menyertai mereka, berkata: "Ya, sudah tentu, adalah beberapa orang dari Sabah".

Syed Husin berkata setakat ini SAPP tidak ada mengemukakan permohonan untuk menyertai PKR tetapi jika parti itu berbuat demikian, ia akan diterima.

Di Miri, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Tun Openg hari ini menyifatkan presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee sebagai koboi politik yang merosakkan imej ahli-ahli politik lain dalam negara.

20 June 2008

Saya tinggalkan Anwar kerana prinsip Islam - Ezam

Oleh: klpos.com

BEKAS Ketua AMK PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor semalam bersumpah atas nama Allah SWT dan Rasul akan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri kerana ‘prinsip seorang Muslim”.

Ezam yang berceramah di sini, semalam dilaporkan berkata, beliau sedia untuk ‘all-out’ bagi menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri ‘atas sebab-sebab tertentu’.

“Saya bukan jenis orang yang suka mengaibkan orang lain, tapi jangan cabar saya,” kata Ezam di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu di sini.

Dalam ceramah bertajuk ‘Mempertahankan Perjuangan Pengasas Bangsa’ itu, Ezam menjelaskan politik cara Anwar Ibrahim akan menghancurkan kestabilan negara dari segi keselamatan dan ekonomi.

Dalam ceramah sulung di pentas UMNO itu, Ezam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar berkata, tindakan beliau meninggalkan bekas bosnya itu semata-mata atas dasar prinsip.

Menurut beliau, biarpun ada dakwaan kononnya beliau disogok jutaan ringgit serta jawatan tertentu oleh UMNO, namun hakikat sebenarnya adalah beliau hilang kepercayaan pada perjuangan PKR.

“Dengan nama ALLAH saya tinggalkan Anwar atas prinsip sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak membenarkan saya membantu beliau menjadi pemimpin dalam apa cara sekalipun,” kata Ezam.

Jelas Ezam, sejak mengumumkan menyertai UMNO, beliau menjadi mangsa fitnah pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak gentar sama sekali dengan fitnah-fitnah tersebut bahkan beliau memberi amaran bahawa kesabarannya ada batas.

“Saya tidak suka aibkan orang, tapi kalau terus memfitnah saya akan gempur habis-habisan,” katanya.

Turut hadir dalam ceramah tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Speaker tiada kuasa sekat usul undi tidak percaya

Oleh: Tarmizi Mohd Jam

SPEAKER Dewan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen.

Perkara ini ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan ketika dihubungi ekoran pendapat yang menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul tersebut selain beberapa sebab teknikal yang lain.

Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melahirkan rasa ragu beliau meskipun ahli parlimen veteran itu berpendapat, tindakan SAPP semalam mempunyai implikasi politik yang penting.

Aziz, pensyarah UIAM menjelaskan kedudukan kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen ditentukan oleh sokongan majoriti dan apabila timbul persoalan mengenainya maka dewan perlu diberi peluang untuk mempastikan soal itu.

Soal-soal teknikal perlu dikesampingkan kerana ini adalah soal yang melibatkan sama ada kerajaan yang ada boleh kekal atau meletakkan jawatan. Aziz memberi beberapa hujah untuk menyokong pendapatnya itu.

Yang pertama hujahnya, ialah soal sokongan majoriti itu penting sebagaimana yang disebut oleh Perlembagaan dalam beberapa peruntukan bermula dengan Perkara 43(2)(a). Ini diikuti oleh Perkara 43(4) yang mewajibkan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti.

Yang kedua ialah bahawa kuasa Speaker adalah berdasarkan peraturan tetap dewan (standing orders) yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1). Dengan kata lain adalah tidak munasabah jika undang-undang kecil mengatasi Perlembagaan. Beliau berhujah ini tidak selaras dengan Perkara 4(1) yang meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Yang ketiga kuasa mutlak Speaker adalah berhubung dengan perjalanan mesyuarat dewan tidak harus disalahgunakan untuk menyelamatkan kerajaan yang kehilangan kekuatan untuk memerintah.

Aziz menegaskan jika Speaker dibenarkan menyekat usul tidak percaya maka sistem demokrasi berparlimen - di mana kerajaan dilantik berdasarkan sokongan majoriti di dalam dewan - akan hancur.

Ini juga membawa makna konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government) yang sentral di dalam demokrasi Westminster tidak terlaksana.

Yang keempat, hujah Aziz lagi, dakwaan mengenai kuasa Speaker itu bertentangan dengan amalan yang konsisten setakat ini.

Pensyarah UIAM itu berkata setakat ini sudah tiga kali kerajaan tumbang di tangan undi tidak percaya di Malaysia . Beliau menegaskan kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai undang-undang yang sama.

Perletakan jawatan kerana gagal dalam usul tidak percaya berlaku buat pertama kalinya di Sarawak pada tahun 1966 melibatkan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Kemudian ia diikuti oleh perletakan jawatan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris di Selangor pada tahun 1976 yang diundi tidak percaya oleh partinya sendiri. Insiden yang sama berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila Menteri Besar Dato Mohamed Nasir berbalah dengan partinya sendiri.

Aziz mengharapkan semua pihak, termasuk Speaker, perlu memberi laluan kepada proses yang telah pun secara konsisten diamalkan di seluruh dunia Komanwel. Jika ia disekat Malaysia akan ditertawakan oleh dunia.

PKR sedia gempur Sanglang

Oleh: nakmarahmarahlah

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Perlis bersiap sedia menggempur Sanglang selepas Mahkamah Tinggi Kangar memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan itu yang dimenangi calon Barisan Nasional (bn) pada pilihanraya umum lalu dikosongkan berikutan permohonan petisyen dikemukakan Ustaz Hashim Jasin yang juga bekas calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) kawasan sama.

Pengerusi Perhubungannya, Ab Ghani Ismail berkata, PKR negeri dengan jalinan erat komponen Pakatan Rakyat (PR) lain terutama PAS akan berusaha untuk mencapai kemenangan sambil menaruh harapan agar calon kali ini mempunyai kewibawaan, muda, berintegriti dan diterima baik masyarakat di Sanglang.

Walaubagaimanapun kata beliau, pihaknya akan akur kepada setiap keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat berhubung pilihananraya kecil itu nanti.

Sebagai komponen PR, PKR negeri menyambut baik menyambut baik keputusan petisyen Dun Sanglang yang memutuskan supaya satu pilihan kecil diadakan dan menerima dengan hati terbuka berikutan penolakan permohonan Hashim diisytiharkan sebagai pemenang kerusi tersebut.

"Berlandaskan malapetaka kenaikan harga minyak serta pergolakan teruk yang dikalangan komponen BN sehingga membebankan rakyat jelata, maka kami yakin peluang PR memenangi pilihanraya kecil Dun Sanglang amat cerah,"ujar Ghani.

MT SAPP sokong usul tidak percaya


Oleh: malaysiakini.com

Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Progresif Sabah (SAPP) hari ini memutuskan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri seperti dikemukakan oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tidak membuat sebarang keputusan sama ada akan keluar dari Barisan Nasional.

Sebaliknya, Yong meminta pemberita bertanya kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kedudukan SAPP dalam BN.

Pertemuan itu, yang bermula jam 10 pagi tadi, di ibu pejabatnya di Kota Kinabalu. Hadir sama ialah timbalannya Datuk Raymond Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Sebelum ini, Tan mengecam keputusan Yong itu, dengan menyatakan beliau berasa "keliru dan malu" dengan tindakan partinya, satu daripada komponen BN yang dipengerusikan Abdullah.

Tan juga mendakwa majlis tertinggi tidak dirujuk terlebih awal berhubung perkara tersebut dan mendakwa usul tidak percaya tersebut tindakan politik Yong sahaja.

Difahamkan Yong mendapat sokongan empat daripada enam wakil rakyat SAPP untuk menyokongnya.

Kedua-dua pemimpin itu dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata kira-kira sejam sebelum mesyuarat majlis tertinggi parti yang melibatkan hampir semua 35 anggota.

Timbalan-timbalan presiden SAPP Datuk Eric Majimbun, yang juga ahli parlimen Sepanggar, dan Datuk Liew Teck Chan, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Likas, tidak hadir kerana berada di luar negara.

Tiga wakil rakyat parti antara yang dilaporkan hadir: ahli parlimen Tawau Datuk Dr Chua Soon Bui; Adun Luyang, Melanie Chia, dan Adun Elopura, Au Kam Wah.

SAPP bincang usul tidak percaya

Oleh: malaysiakini.com

Parti Progresif Sabah (SAPP) sedang mengadakan mesyuarat majlis tertingginya bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri seperti dikemukakan oleh presidennya Datuk Yong Teck Lee.

Mesyuarat itu, yang bermula jam 10 pagi tadi, di ibu pejabatnya di Kota Kinabalu dipercayai akan menyaksikan ketegangan antara Yong dengan timbalannya Datuk Raymond Tan, yang juga timbalan ketua menteri Sabah.

yong teck lee and sappTan mengecam keputusan Yong itu, dengan menyatakan beliau berasa "keliru dan malu" dengan tindakan partinya, satu daripada komponen BN yang dipengerusikan Abdullah.

Tan juga mendakwa majlis tertinggi tidak dirujuk terlebih awal berhubung perkara tersebut dan mendakwa usul tidak percaya tersebut tindakan politik Yong sahaja.

Difahamkan Yong mendapat sokongan empat daripada enam wakil rakyat SNAPP untuk menyokongnya.

19 June 2008

SAPP keluar BN Jumaat ini?

Oleh: mSTAR Online

ADAKAH Parti Maju Sabah (SAPP) akan meninggalkan Barisan Nasional (BN)?

SAPP dijadual mengadakan sidang akhbar Jumaat ini untuk mengumumkan keanggotaan mereka dalam BN selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP diadakan.

Dalam kenyataan dipaparkan di dalam laman web SAPP hari ini, parti itu mendakwa BN telah meninggalkan Sabah dan semangatnya telah lenyap.

"Bukan kami (Sabah) tidak mahu Barisan Nasional (BN), tetapi BN yang tidak mahu kami," kata SAPP.

Menurut SAPP, BN tidak mengaktifkan sumbangan Sabah dalam arus perdana negara.

Tahniah atas ketegasan SAPP perjuangkan hak rakyat


Oleh: Anwar Ibrahim

TAHNIAH dan salut perjuangan kerana ketegasan dan keberanian Parti Progresif Sabah (SAPP) dan dua Ahli Parlimen mereka mempertahankan hak rakyat khususnya Sabah.

Saya telah mengadakan dua perbincangan sebelum ini dengan Dato’ Yong Teck Lee, Presiden dan pimpinan SAPP. Isu pokok adalah berkaitan good governance atau pengurusan pemerintahan baik dan mematuhi prinsip pertanggungjawaban. Jaminan keadilan bagi rakyat, bumiputra dan lainnya termasuk Sabah.

Kita menjamin 20 peratus royalti minyak kapada Sabah, Sarawak dan Trengganu, serta perwakilan yang adil bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Saya gembira dengan tindakan awal ini dan menyeru supaya rakan-rakan lain segera bertindak demi menjamin politik yang stabil dan pengurusan ekonomi cekap yang akan menjamin pertumbuhan pantas serta pengagihan adil.

Tidak ada usul tidak percaya diterima, kata Speaker


Oleh: bernama.com

SPEAKER Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau belum menerima sebarang notis daripada mana-mana parti berkaitan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya belum terima apa-apa lagi. Tidak ada notis yang telah dikemukakan kepada pejabat saya setakat ini," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata mana-mana parti boleh mengemukakan permohonan untuk membentangkan usul berdasarkan kepada dua peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat, pertama Peruntukan 27 (1) untuk satu usul bagi dibentangkan oleh mana-mana anggota mengenai sebarang perkara tertentu tetapi anggota mesti memberi notis dalam masa 14 hari.

Peruntukan kedua ialah 18 (1), di mana Dewan membahaskan satu usul oleh sebarang anggota yang mempunyai kepentingan awam dan hendaklah dibuat segera kerana ia untuk disegerakan.

Tidak seperti 27 (1) di mana notis 14 hari diperlukan, 18 (1) hanya memerlukan notis 48 jam atau dua hari bekerja penuh.

Ini bermakna sesiapa yang bercadang untuk mengemukakan usul itu mestilah mengemukakan usul mereka kepada Speaker Dewan Rakyat paling lewat esok. Dengan itu, amat menarik untuk melihat jika SAPP atau mana-mana parti akan mengemukakan sebarang tuntutan kemudian.

Bagaimanapun, ketika ditanya jika beliau akan menerima tuntutan seperti itu, Pandikar berkata mana-mana anggota Parlimen boleh mencadangkan satu usul di Parlimen asalkan ia memenuhi peruntukan Peratuan Mesyuarat.

"Sama ada ia akan diterima atau tidak, Saya akan kaji dahulu sebelum membuat keputusan," kata beliau sambil mengulangi, sehingga hari ini, tidak ada tuntutan seperti itu dibuat.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini mengisytiharkan bahawa patinya hilang kepercayaan dalam kepimpinan Abdullah dengan menyatakan dua anggota Parlimennya (Sepanggar dan Tawau) akan memyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen Isnin ini.

Yong, bekas Ketua Menteri Sabah, berkata anggota Parlimen Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, yang kini berada di luar negara atas urusan rasmi telah menyatakan pendiriannya dalam kenyataan akhbar yang ditandatangani sementara anggota Parlimen Tawau Datuk Dr Chua Soon Bui membacakan kenyataannya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti tersebut di Kota Kinabalu.

"Sama ada usul itu akan dibentangkan oleh anggota-anggota Parlimen kita itu atau anggota Parlimen lain akan diputuskan nanti," kata Yong pada sidang akhbar itu.

Yong berkata Majimbun dijangka pulang ke Malaysia pada masa sesi sidang Parlimen itu Isnin ini.